Rss Feed
  1. Belasungkawa-nya tokku...

    Tuesday, October 4, 2011



    Sudah hampir satu bulan (5 hari nak genap sebulan) pemergian Allahyarham atuk aku, Engku Ismail Bin Engku Puteh atau org ramai mengenali Allahyarham dgn nama Tokku Bongsu@Engku Bongsu Machang. Allahyarham boleh dikatakan seorg yg sering dijadikan rujukan tentang salasilah susur galur keluarga, keturunan kerabat Long Gaafar.

    Aku tak sempat tuk sampai ke Machang pada hari pengebumian Allahyarham, yer la, masalah transport dan mmg time tu tgh keje. Dpt call dr abg, katanya tokku takde kul 11.00pg tadi.. (7 September 2011). :(

    petikan dari Sinar Harian, bertarikh 8 September 2011 edisi pantai timur (kelantan)

    Innalillah...
    Allahyarham meninggalkan kami pada usia 114 tahun (tak nafi mmg tua sangat dah tu..), walaupun dlm paper sinar harian tertulis 110 tahun :). (aku tahu la usia atuk aku..hehe). Aku sampai dgn adik beradik kat umah Machang sehari selepas hari kematian. Mmg tak sempat nk 'kejar' balik segera ke kelantan, walaubagaimana pun masih sempat untuk majlis tahlil.

    Sedikit background mengenai Allahyarham sudah diupdatekan oleh blog kebun ketereh, klik link biru tu utk terus ke blog tu, yer.. Selengkapnya, mmg kena rujuk waris terdekat, tapi aku pun tak tahu sapa dah sekarang yg leh jd rujukan seperti Allahyarham..hurmmm.

    Apapun mintak izin blogger kebun ketereh tuk copy kesini sikit yer... jangan marah hehehe. Blog kebun ketereh adalah blog rasmi bagi Pertubuhan Kerabat Long Gaafar Kelantan, yang dipengerusikan oleh YM Engku Ibrahim Engku Ismail a.k.a bapak saudara aku yg sulong.

    Apapun, allahyarham mmg seorg yg tabah, dan kuat. Sebab umurnya yg dah seratus lebih, siap masih gagah naik basikal, kata mak sedara aku sebelum ni.. Rahsia org lama katanya, ulam ulaman dan air suam, disamping amal ibadah yg konsisten.

    Ermm, apapun... Al-Fatihah.



    LOGO PKLGK

    Innalillahiwaiina ilaihiraajiuun

    Sebutir lagi permata, Tengku Ismail atau lebih dikenali sebagai Tengku Bongsu Machang, sumber rujukan Kerabat Long Gaffar telah kembali ke Rahmatullah pada pagi ini 7 September 2011 bersamaan dengan 9 Syawal 1432 Hijrah akibat sakit tua.

    al-Fatihah

    Almarhum yang juga merupakan ayahanda kepada Yang Dipertua Pertubuhan Kerabat Long Gaffar Kelantan (PKLGK) iaitu Dr. Engku Ibrahim mangkat di kediamannya di Jalan Tanah Merah, Machang (berhampiran Balai Bomba Machang), Kelantan.

    Semasa hayatnya iaitu ketika usia mudanya, Almarhum sempat menyaksikan “sisa-sisa” kegemilangan pemerintahan keturunan Long Gaffar di Kelantan yang berpusat di Kota Limbat, Pasir Tumboh, yang terletak tidak jauh dari Kota Bharu.

    Almarhum juga pernah menyaksikan kemakmuran yang pernah dikecapi oleh kerajaan Limbat dan para penduduknya.

    Dikatakan pada masa tersebut Limbat dan sekitarnya didiami oleh begitu ramai penduduknya lantaran kesuburan tanahnya.

    Berita kemangkatan Almarhum Tengku Bongsu di dalam Sinar Harian 8 September 2011.

    Gambaran Kota Limbat (kanan sekali) yang menjadi baner web ini seperti yang diceritakan oleh Almarhum Tengku Bongsu. Balai Kota Limbat ini menurutnya mampu memuatkan kira-kira 3,000 orang tetamu pada satu-satu majlis.

    Hasil ekonomi utama Limbat ialah penanaman padi. Ketika padi ranum menguning, penduduk di situ bagaikan berpesta…bergotong-royong menuainya.

    Selesai sahaja musim menuai, pesta keramaian diadakan di istana Kota Limbat. Tarian Mak Yong dan wayang kulit di adakan sambil disaksikan oleh Raja bersama ribuan penduduknya.

    Berbeza dengan anggapan ramai, Mak Yong dan wayang kulit ini dijadikan sebagai salah satu daripada medium dakwah sebagaimana yang telah dilakukan oleh leluhur Long Gaffar iaitu para Wali Songo di Tanah Jawa.

    Di samping kesuburan tanahnya serta terhindar dari ditenggelami air semasa musim banjir, Limbat juga menjadi tumpuan umat Islam dari seluruh Nusantara lantasan kehebatannya sebagai pusat pengajian Islam yang terletak di Kampung Kerasak yang terletak tidak jauh dari Kota Limbat.

    Kehebatan Limbat sebagai pusat pengajian Islam kemudiannya diterjemahkan pula dalam segenap aspek kehidupan. Perundangan Islam dan Hudud dilaksanakan sepenuhnya oleh pemerintahnya bagi menjamin kebahagian penduduknya di dunia dan akhirat.

    Ketika mudanya, Almarhum tinggal bersama-sama dengan ayahanda serta bondanya iaitu Tengku Embong binti Tengku Long Nik di Kota Limbat.

    Dikatakan bahawa Tengku Embong walaupun seorang perempuan, baginda dianggap sebagai Raja Limbat yang terakhir. Dipercayai pada masa pemerintahan bagindalah Datuk Bahaman yang sedang berjuang menentang Inggeris di Pahang, datang bagi meminta bantuan tentera.

    Salasilah Long Gaffar

    Tok Guru Peramu atau nama sebenarnya Datuk Bahaman

    Bagi menyahut seruan jihad yang dilancarkan oleh Khalifah Islam Kerajaan Turki Othmaniah, kerajaan Limbat dikatakan telah menyediakan seramai kira-kira 150 orang tentera bagi membantu kempen perang Datuk Bahaman di Pahang.

    Namun, penentangan terhadap Inggeris itu gagal, lantas Inggeris telah mengambil tindakan dengan membubarkan kerajaan Limbat.

    Setelah Limbat dibubarkan, pemerintahan zuriat keturunan Long Gaffar diteruskan pula di Kota Jeram, Pasir Puteh. Namun Kota Jeram juga mengalami nasib yang sama, Kota tersebut telah dibakar hangus oleh penjajah Inggeris setelah berakhirnya penentangan Engku Besar Jeram, Tengku Besar Tuan Ahmad dan Perdana Menterinya Tok Janggut dalam MUSUH BESAR pada tahun 1915.

    Lambang kekejaman Inggeris. Namun syuhada ini bukanlah Tok Janggut, Perdana Menteri Jeram sebagaimana yang didakwa oleh banyak pihak.

    Walaupun pemerintahan Limbat dibubarkan, peranan serta kemegahan Kota Limbat kekal sehinggalah ianya dirombak sedikit demi sedikit oleh zuriat keturunan Long Gaffar.

    Dikatakan juga rumah ibu Kota Limbat masih lagi kekal berdiri megah di situ sebagai saksi kehebatan pemerintahan keturunan Long Gaffar sehinggalah semasa Perang Dunia Ke-2.

    Kemudiannya sisa-sisa terakhir Kota Limbat dirombak dan digunakan bagi mendirikan masjid pekan Peringat yang terletak tidak jauh dari situ manakala sebahagian yang lainnya digunakan untuk mendirikan rumah-rumah keturunan Long Gaffar.

    Perginya Almarhum Tengku Bongsu menghadap Ilahi, membawa bersama-samanya kenangan-kenangan indah serta kisah-kisah kehebatan dan kegemilangan Kota Limbat serta pemerintahan keturunan Long Gaffar yang asalnya merupakan Raja Muda Negeri Reman di Kelantan atau lebih dikenali sebagai Negeri Kelar Lintang pada masa itu.

    Begitulah secara serba ringkasnya kisah kehebatan Long Gaffar serta zuriat keturunannya dalam usahanya menegakkan syiar Islam di bumi Tanah Melayu khususnya dan Nusantara amnya, sepertimana yang telah diceritakan oleh Almarhum Tengku Bongsu.

    Sebagaimana Negeri Reman yang menjadi negeri asal Long Gaffar, dibubarkan…begitulah juga nasib yang menimpa Kota Limbat dan terakhirnya Kota Jeram. Begitulah hebatnya kebencian KUFFAR Inggeris terhadap Islam dan mereka yang berjuang bersamanya !

    Semoga roh Almarhum dan seluruh leluhurnya dirahmati oleh Allah Taala dan ditempatkan bersama-sama kalangan para Rasul dan Anbia, para Syuhada dan orang-orang yang soleh serta bertaqwa…Amin…AL-FATIHAH


    |


  2. 0 kucing kering mengiau:

    Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts

mytafastudio. Powered by Blogger.